KEPINGIN PENGARAH PELAJARAN JOHOR

KEPINGIN PENGARAH PELAJARAN JOHOR

Selasa, Disember 01, 2009

MENANGANI KONFLIK DI TEMPAT KERJA

1.Pengenalan

Konflik, dalam Kamus Dewan bermaksud perselisihan atau pertentangan. Konflik di tempat kerja, saya taarifkan sebagai apa-apa perselisihan atau pertentangan diantara warga kerja dalam sesuatu organisasi. Konflik ini saya bahagikan kepada konflik yang senyap – macam api dalam sekam dan konflik yang nyata – bagai api yang menjulang-julang. Konflik yang senyap dan konflik yang nyata ini perlu ditangani. Sekiranya tidak ditangani atau tidak diambil peduli oleh organisasi, tunggulah masa akan porak perandanya organisasi tersebut.

Setengah orang menganggap konflik merupakan masalah. Setengah orang pula menganggap konflik ini sympton kepada masalah. Ada juga orang yang menganggap konflik sebagai satu peluang. Peluang dia menunjukkan kebolehannya atau peluang dia mengaut keuntungan atau peluang dia memperluaskan pengaruh atau menjadi juara atau peluang dia menunjukkan kehebatannya. Tidak kurang juga ada orang yang menganggap konflik ini perkara biasa. Walau apa pun tanggapan orang terhadap konflik, konflik mesti ditangani.

Walau pun begitu ada orang berpendapat, biarlah yang berkonflik itu bergaduh atau bertumbuk supaya mudah dikenakan tindakan tatatertib atau pun dikeluarkan dari organisasi kerana ada manusia selagi dia tidak terhantuk, selagi itu dia tidak terngadah. Pandangan ini berdasar pengalaman beberapa buah negara yang menghadapi kesukaran memadam api yang menjulang-julang dengan menggunakan bahan letupan. Apabila api yang menjulang itu diletupkan dengan bahan letupan, api tersebut dapat dipadamkan dengan mudah

Namun demikian sebelum konflik ditangani, kita perlu mengambil beberapa langkah penyelesaian konflik supaya tidak akan menimbulkan konflik yang lebih besar. Kesilapan menangani konflik boleh menyebabkan ujudnya konflik yang lebih hebat!

2. Langkah menangani konflik

2.1. Mengenalpasti konflik
Kita perlu mengenalpasti:
a. apakah jenis konflik yang terdapat dalam organisasi kita
b. siapakah yang berkonflik
c. bila konflik berlaku
d. status konflik

2.2. Menganalisis konflik
Setelah mengenalpasti konflik, langkah seterusnya ialah menganalis konflik
a.apakah punca konflik
b.bagaimana dia bermula
c.berapa ramai yang bterlibat
d.tahap minda/pemikiran ahli yang berkonflik
e.keadaan kesihatan dan keluarga ahli berkonflik
f.perhubungan dengan rakan sejawat yang lain

2.3. Mencari alternatif dan melaksanakan alternatif yang terbaik
Setelah mengenalpasti dan menganalisis masalah maka kita carilah alternatif penyelesaian masalah. Berikut adala antara alternatif yang boleh dipilih:
2.3.1 Membetulkan konflik dalaman diri individu. Alternatif ini sesuai untuk individu yang dalam dirinya memang sudah ada konflik.
2.3.1.1. Menjana rohani. Saya percaya bahawa setiap manusia dikurniakan Alla rohani yang postif dan negatif. Unsur Rohani yang postif seperti baik hati, redha,  bersyukur, ikhlas dan lain-lain yang seumpama dengannya. Sementara unsur rohani yang negatif seperti hasad, dengki, irihati dan lain-lain yang seumpama dengannya. Saya juga percaya bahawa unsur-unsur ini sebenarnya boleh dijana atau terjana tanpa dirancang. Unsur yang dijana bermaksud ada perancangan untuk menjadikan rohanipositif atau negatif melalui program-program tertentu. Unsur yang terjana bermaksud unsur-unsur itu  berkembang  berdasarkan persekitaran. Sekira persekitannya positif maka jadilah ia positif. Jika persekitaran negatif jadilah ia negatif. Untuk menjana rohani yang postifkita perlu membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan kerohanian dalam ucapan sebelum mesyuarat. Kalau kita tidak mampu melakukannya, kita boleh meminta bantuan dari orang-orang yang berkebolehan. Apabila unsur-unsur rohani yang postif ini terjana saya  percaya, unsur-unsur rohani yang negatif akan menjadi pasif. Apabila hal ini terjadi konflik dalaman yang dialami oleh individu dapat diatasi

2.3.1.2. Mengawal emosi individu yang mengalami konflik dalaman. Seperti rohani, saya percaya manusia juga telah dinugerahkan Allah dengan emosi yang positif atau negatif. Emosi yang positif, sentiasa mendorong kita kepada kebaikan dan ketenangan seperti suka, sayang, kasih dan seumpamanya, sementara emosi yang negatif cenderong kepada keresahan dan kegelisahan, seperti cemburu, benci, geram dan seumpamanya. Emosi individu yang mengalami konflik ini perlu dijana emosi positifnya. Emosi positif yang telah dijana ini akan dapat mengawal emosi yang negatif. Dengan ini rasa cemburu dan rasa benci akan dapat digunakan dengan cara yang betul.

2.3.2. Melaksanakan aktiviti berkumpulan. Aktiviti berkumpulan ini dilakukan setelah aktiviti menjana rohani dan mengawal emosi meredakan tekanan perasaan guru berkenaan. Dalam aktiviti berkumpulan kita boleh cuba menerapkan petua perhubungan sekolah saya iaitu, “apabila kita berada dalam satu kumpulan yang sama kita hendaklah saling jaga menjaga diantara sama lain.” Disamping itu kita juga boleh menyelitkan pesanan “bahawa dalam dunia ini bukan kita seorang sahaja yang hebat dan jangan menidakkan kehebatan orang lain.” Dalam aktiviti berkumpulan ini kita juga boleh menyentuh hati dan jiwa semua warga sekolah  kita supaya semua ahli kumpulan berasakan bahawa apabila berada dalam kumpulan hendaklah memastikan kumpulan mereka sentiasa cemerlang tanpa sebarang konflik tanpa menyinggung walau pun seorang ahli. Kesan dari aktiviti berkumpulan ini, kita berharap mereka yang berkonflik boleh berbual dengan rakan sejawat yang dimusuhinya dan mereka boleh berjabat  tangan dan berpeluk-peluk.

2.3.3. Membuat refleksi diri dalam kumpulan. Aktiviti ini boleh dilakukan pada masa sekolah  melaksana Latihan Dalaman dimana salah satu slotnya refleksi diri. Dalam aktiviti ini semua warga sekolah dikehendaki membuat refleksi diri dalam aspek petua perhubungan sekolah iaitu “apabila kita berada dalam satu kumpulan yang sama, kita hendaklah saling jaga menjaga diantara satu sama lain”. Mereka dikehendaki membuat refleksi diri selama tiga puluh minit  berkaiatan dengan apa yang telah mereka lakukan untuk melaksanakan petua tersebut. Setelah tamat tempoh, mereka dikehendaki membentangkan hasil dari refleksi itu. Semasa ahli-ahli organisasi membentangkan hasil refleksi kita jangan menumpukan perhatian kepada ahli bermasalah supaya tidak timbul prasangka atau presepsi yang tidak betul. Kita boleh membuat pemerhatian beberapa hari selepas aktiviti refleksi diri dijalankan. Adakah ahli yang bermasalah sudah boleh semeja dan berbual dengan rakan sejawat yang pernah dimusuhi.

2.3.4. Hari Keluarga Organisasi. Hari keluarga ini merupakan kemuncak dari aktiviti menangani konflik di tempat kerja. Pada hari inilah semua warga organisasi berkumpul bersama keluarga  masing-masing. Matlamat untuk menyelesai konflik juga jangan dinyatakan. Warga organisasi  menganggap Hari Keluarga ini hanya aktiviti rutin untuk merapatkan silaturrahim. Kita hanya boleh berharap dan berdoa agar mereka yang berkonflik hadir tanpa prajudis.

2.3.5 Bersemuka dengan ahli-ahli yang berkonflik. Sekiranya kita memilih untuk bersemuka dengan orang yang berkonflik, kita hendaklah pastikan persetujuan bersama warga sekolah yang  berkonflik telah diperolehi. Sekiranya tiada sebarang pesrsetujuan dikhuatiri konflik akan menjadi lebih besar. Dalam hal ini kita hendaklah menjadi pendengar yang baik dan mampu memilih istilah dan ayat yang boleh melembutkan hati ahli organisasi yang berkonflik. Kita jangan sekali-kali memihak kepada yang berkonflik.

3. Penutup
Dalam menangani konflik di tempat kerja kita jangan mengambil pendekatan tidak mewar-warkan konflik. Tidak menyebutnya dalam mesyuarat atau majlis-majlis sekolah. Ahli organisasi tidak menyedari bahawa konflik berada didalam pengetahuan Pengetua mereka. Kita juga jangan menyatakan bahawa aktitiviti yang dijalankan untuk menyelesaikan konflik. Tindakan ini diambil bagi mengelakkan ujudnya prasangka di kalangan ahli organisasi. Segala-segala berlaku tanpa disedari oleh warga organisasi. Mereka hanya akur mengikuti program dan aktiviti yang dilaksanakan

Oleh yang demikian, pada pandangan saya apabila kita menangani sesuatu konflik kita tidak perlu membesar-besarkannya. Apa yang perlu dibuat adalah mengenalpasti konflik yang berlaku, membuat analisis bagaimana boleh berlaku, cari alternatif menangani konflik yang terbaik dan laksanakan alternatif. Bagi saya perkara yang terbaik ketika melaksanakan alternatif itu tiada ahli organisasi yang menyedari bahawa alternatif yang laksana adalah untuk menangani konflik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

I made this widget at MyFlashFetish.com.